Buletin SMK CHANIS ... Ilmu Iman Ihsan

Sunday, July 23, 2006

Perkhemahan Bersepadu Pasukan Seragam

Satu aktiviti tahunan yang disertai oleh semua unit pakaian seragam sekolah iaitu Pasukan Pengakap, Pasukan Kadet Polis, Pasukan Bulan Sabit Merah, Pasukan Kadet Remaja Sekolah dan Pasukan Puteri Islam. Lokasi perkhemahan ialah di Pusat Kegiatan Ko Kurikulum SMK Chanis. Pelbagai aktiviti pertandingan diadakan sepanjang perkhemahan iaitu pertandingan ikatan tali, membuat gajet, ikatan anduh, memasak, kawad dan sebagainya.

Monday, July 17, 2006

Program Lawatan Silaturahim SPM

Program ini merupakan satu inisiatif pihak sekolah untuk memastikan pelajar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM. Lawatan ke rumah pelajar dibuat bertujuan untuk mengenalpasti kemungkinan masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam persekitaran di rumah. Guru akan beramah mesra dengan keluarga pelajar dan bertukar-tukar pandangan dan idea untuk meningkatkan prestasi pelajar serta cuba mengatasi masalah-masalah yang ada bagi mempastikan pelajar dapat menumpukan masa dan perhatian kepada pembelajaran.

Tuesday, July 11, 2006

Hari Keluarga KGK

Hari Keluarga pada tahun ini diadakan di luar negeri Pahang iaitu di Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus. Destinasi kali ini merupakan yang ketiga diadakan di luar negeri Pahang.
Bermula seawal jam 9:00 pagi satu konvoi yang terdiri daripada lebih kurang 20 buah kenderaan mula bertolak dari perkarangan SMK Chanis. Keadaan cuaca pada waktu pagi agak baik dan tiada masalah yang dihadapi di sepanjang perjalanan. Cuma hujan sedikit ketika konvoi berhenti rehat di Ulu Bendul.
Antara program yang diadakan ialah sukaneka keluarga yang sudah menjadi acara tradisi setiap kali diadakan Hari Keluarga KGK bertujuan untuk mengeratkan hubungan mesra antara warga SMKC serta keluarga semua ahli. Seramai 33 orang guru dan juga staf mengikuti aktiviti wajib tahunan KGK pada kali ini. Menurut Pengerusi KGK Encik Saiful Anuar Alias, “Sesungguhnya keakraban, keintiman dan kemesraan yang dijalinkan melalui Program Hari Keluarga ini merupakan detik paling berharga yang mendasari ukhuwah dan semangat kebersamaan yang menjadi teras utama kejayaan warga SMK Chanis”.

Program Silaturahim

Program ini merupakan satu program kecemerlangan yang diadakan bagi calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan PMR 2006. Tujuannya untuk mengenal pasti kelemahan serta masalah yang ada di kalangan calon-calon PMR. Pendekatan yang digunakan ialah membuat perjumpaan secara bersemuka dengan keluarga pelajar di rumah pelajar itu sendiri dan berbincang segala aspek masalah yang timbul yang mengganggu pembelajaran anak-anak mereka. Cara ini boleh mendekatkan diri pelajar serta keluarga dengan pihak sekolah agar masalah dapat diatasi bersama agar pelajar tersebut mampu mencatat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

Wednesday, July 05, 2006

Kem Kecemerlangan Diri Pelajar Aliran Sains

Oleh : Abd Rahman Mohammad Husain

Kem ini dijalankan di D’ru Ombak Village, Pantai Rantau Panjang, Kuala Rompin. Ia dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling. Seramai 53 orang peserta pelajar dan 10 orang guru mengikuti kem ini. Objektif kem ini antara lain ialah meningkatkan kesedaran diri pelajar untuk cemerlang dalam SPM di samping menimbulkan rasa seronok di kalangan pelajar semasa mengikuti aktiviti kem ini.
Jurulatih yang bertindak mengendalikan setiap aktiviti bagi kem ini ialah Cikgu Md Roslan dari SK Muadzam Jaya dan Encik Arman dari UiTM Shah Alam. Fasilitator yang bertugas bagi kem ini ialah Encik Abd Rahman Mohammad Husain iaitu Guru Kaunseling SMK Chanis. Program kem ini merupakan sumbangan terakhir Guru Kaunseling dari UBK SMK Chanis sebelum bertukar ke PPD Cameron Highland. Terima kasih kepada Tuan Pengetua yang bertindak selaku imam di kem berkenaan. Juga terima kasih Puan Ramlah, Puan Fatimah dan Puan Aziah, pekerja SMK Chanis yang bertindak membantu dalam kerja-kerja memasak dan menyediakan makanan kepada para peserta.
Pihak penganjur juga berasa puas hati kerana para peserta berasa seronok sepanjang berada di sini. Kem ini juga sudah menjadi seakan-akan program Hari Keluarga kepada guru-guru apabila mereka datang membawa keluarga.
Tahniah kepada pelajar dan guru kerana berjaya menjayakan program berkenaan dari mula hingga akhir.

Sunday, July 02, 2006

Perjumpaan Ibu Bapa dan Penjaga

Perjumpaan ini bertujuan memberi makluman kepada ibu bapa dan penjaga pelajar berkenaan keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Semua ibu bapa dan penjaga pelajar tingkatan satu, dua dan empat dikehendaki datang ke sekolah menandatangani buku rekod laporan kemajuan pelajaran anak-anak di bawah jagaan mereka di samping berinteraksi dengan guru untuk berbincang segala masalah yang timbul serta cadangan langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Interaksi ini penting supaya pembelajaran anak-anak tidak terganggu untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Program Amali Haji

Pada Khamis 29 Jun 2006 satu program telah diadakan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Bina Insan iaitu Program Amali Haji. Program ini melibatkan semua pelajar tingkatan empat dan lima yang mendedahkan kepada para pelajar amalan ibadah haji secara komprehensif. Program yang dipengerusikan oleh GPK 1 Ustaz Alias Mamat ini dimulakan dengan sesi ceramah khas ‘Sejarah dan Hikmah Ibadat Haji’ yang disampaikan oleh Tuan Haji Mogit bin Sadio. Selepas rehat jam 10:00 pagi sesi kedua dijalankan di mana pelajar melakukan prosedur dan tatacara ibadat haji secara main peranan.

Saturday, July 01, 2006

Program Pembangunan Staf

Bagi menjamin kecemerlangan pendidikan berterusan khususnya bagi SMK Chanis, usaha membangun jatidiri dan potensi pelajar bukan semata-mata menjadi satu agenda utama tetapi ia merangkumi seluruh tenaga pengajarnya. Bagi tujuan itu satu program perkembangan staf diadakan yang bertemakan 'Peningkatan Kualiti Diri Ke Arah Kerjaya Yang Cemerlang' khusus bagi warga tenaga penggerak SMKC pada hari Sabtu 24 Jun 2006 bertempat di Makmal IT. Sebahagian besar guru hadir mengikuti program tersebut yang dikendalikan oleh Pegawai Kaunseling Daerah Rompin, Encik Md Noor bin Saad.
Pengisian bagi program tersebut ialah bengkel 'Team Building' dan 'Pengurusan EI'.