Buletin SMK CHANIS ... Ilmu Iman Ihsan

Monday, May 22, 2006

Dato' Maznah Rasmi Mesyuarat Agung PIBG

Mesyuarat Agung PIBG kali ke-7 sesi 2005/2006 kali ini diadakan pada hari Sabtu 20 Mei 2006 di Dewan Al-Ghazali. Seperti biasa mesyuarat ini diadakan bertujuan bagi membubarkan ahli jawatankuasa yang sedia ada dan melantik ahli jawatankuasa yang baru untuk sesi 2006/2007. Pembubaran telah dibuat oleh YDP PIBG Encik Roslan Mohd Zain. Beliau kemudiannya dipilih semula oleh semua ahli yang hadir untuk menduduki kerusi YDP bagi menerajui ahli jawatankuasa PIBG sesi 2006/2007. YB Dato’ Maznah binti Mazlan telah sudi hadir bagi menyempurnakan upacara perasmiannya.

Wednesday, May 17, 2006

Sambutan Hari Guru

Perayaan hari guru peringkat SMK Chanis pada tahun ini masih tetap disambut dengan meriah walaupun dalam suasana kesibukan seperti peperiksaan pertengahan tahun dan persediaan bagi majlis mesyuarat agung PIBG nanti.
Acara dimulakan dengan perarakan para guru diiringi dengan paluan kompang ke Dewan Al-Ghazali bagi menjalankan acara rasmi dan wajib seperti bacaan perutusan, nyanyian lagu kebangsaan dan negeri serta diikuti dengan nyanyian lagu ‘Guru Malaysia’ oleh semua guru.Acara sukaneka melibatkan guru dan sebahagian pelajar juga diadakan bagi memeriahkan lagi suasana. Acara kemuncaknya pula diadakan di dewan di mana diadakan persembahan pelajar dan guru seperti sajak, sketsa dan nyanyian selain anugerah khas kepada guru. Pada tahun ini guru-guru yang berjaya memenangi anugerah ialah Cikgu Zalipah Zakaria (Guru Paling Sporting), Ustazah Romzah Abdul Rahman (Guru Paling Bersopan), Cikgu Kamsani Tuah Mujir (Guru Kasut Paling Bersih) dan Cikgu Mohd Nazaruddin Yusoff (Guru Paling Kelakar). Bagi kategori Guru Paling Popular, buat kali keempat berturut-turut dimenangi oleh Cikgu Mohd Ruhaifi Ab Razak mengalahkan pencabar-pencabar terdekat yang lain iaitu Cikgu Zabidah Seman (tempat kedua), Cikgu Aida Abdul Rahman (tempat ketiga), Cikgu Abdul Satar Musa (tempat keempat) dan Cikgu Zulfa Ismail (tempat kelima).

Tuesday, May 09, 2006

Perkhemahan Kadet Polis Daerah

Perkhemahan kali ini diadakan di Kem Pinggir Pelangi Muadzam Shah. SMK Chanis telah menghantar dua platun seramai 27 orang. Dua orang guru pengiring, Cikgu Nik Hishamuddin dan Cikgu Noridawati serta turut dibantu oleh Cik Ainun dan Cik Norini bertugas memantau serta menguruskan hal ehwal dan kebajikan pelajar di sepanjang perkhemahan berlangsung.
Aktiviti perkhemahan ini amat memberi manfaat kepada para pelajar khususnya yang menganggotai Pasukan Kadet Polis sekolah kerana ia sedikit sebanyak memberi pendedahan dan pengalaman kepada anggota dari segi pengurusan diri termasuk bagaimana nak menjalani rutin harian pada suasana tempat yang serba kekurangan dan jauh daripada keluarga, kemampuan untuk survive dalam kesulitan dan kepayahan, menguruskan masa yang terbatas untuk menjalani aktiviti-aktiviti yang padat, membina kekuatan minda dan fizikal bagi menghadapi aktiviti-aktiviti lasak dan mencabar, menggunakan daya kreativiti untuk mengatasi masalah bahan sumber dan keperluan yang terhad untuk menjalani kehidupan seharian dan sebagainya.
Di samping itu perkhemahan ini turut memberi pendedahan tentang kemahiran dari segi menguruskan sebuah pasukan terutamanya bagi ketua dan pemimpin pasukan. Mereka akan belajar bagaimana nak menguruskan sebuah pasukan yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi agar setiap urusan akan berjalan dengan baik dan lancar. Mungkin buat pertama kalinya mereka akan menghadapi kesukaran dan berlaku kelemahan dalam setiap tindakan yang mereka buat tetapi dari situlah mereka memperoleh pengalaman dan panduan bagi mematangkan mereka pada situasi yang akan mereka hadapi pada masa yang akan datang.Di sepanjang perkhemahan kali ini tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku cuma seorang pelajar terpaksa dihantar pulang kerana menghadapi masalah kesihatan.