Buletin SMK CHANIS ... Ilmu Iman Ihsan

Tuesday, May 09, 2006

Perkhemahan Kadet Polis Daerah

Perkhemahan kali ini diadakan di Kem Pinggir Pelangi Muadzam Shah. SMK Chanis telah menghantar dua platun seramai 27 orang. Dua orang guru pengiring, Cikgu Nik Hishamuddin dan Cikgu Noridawati serta turut dibantu oleh Cik Ainun dan Cik Norini bertugas memantau serta menguruskan hal ehwal dan kebajikan pelajar di sepanjang perkhemahan berlangsung.
Aktiviti perkhemahan ini amat memberi manfaat kepada para pelajar khususnya yang menganggotai Pasukan Kadet Polis sekolah kerana ia sedikit sebanyak memberi pendedahan dan pengalaman kepada anggota dari segi pengurusan diri termasuk bagaimana nak menjalani rutin harian pada suasana tempat yang serba kekurangan dan jauh daripada keluarga, kemampuan untuk survive dalam kesulitan dan kepayahan, menguruskan masa yang terbatas untuk menjalani aktiviti-aktiviti yang padat, membina kekuatan minda dan fizikal bagi menghadapi aktiviti-aktiviti lasak dan mencabar, menggunakan daya kreativiti untuk mengatasi masalah bahan sumber dan keperluan yang terhad untuk menjalani kehidupan seharian dan sebagainya.
Di samping itu perkhemahan ini turut memberi pendedahan tentang kemahiran dari segi menguruskan sebuah pasukan terutamanya bagi ketua dan pemimpin pasukan. Mereka akan belajar bagaimana nak menguruskan sebuah pasukan yang sentiasa memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi agar setiap urusan akan berjalan dengan baik dan lancar. Mungkin buat pertama kalinya mereka akan menghadapi kesukaran dan berlaku kelemahan dalam setiap tindakan yang mereka buat tetapi dari situlah mereka memperoleh pengalaman dan panduan bagi mematangkan mereka pada situasi yang akan mereka hadapi pada masa yang akan datang.Di sepanjang perkhemahan kali ini tiada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku cuma seorang pelajar terpaksa dihantar pulang kerana menghadapi masalah kesihatan.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home